Friday, October 16, 2015

Drama swasta, rekaan semata

Timah dan Leman suami isteri. Sudah banyak tahun mereka bersama-sama melayari alam rumahtangga. Suka duka, pahit manis, masin tawar, semua dilalui bersama. Perkahwinan mereka amat bahagia dan tenang. Suatu hari, Timah berkata kepada Leman dengan penuh manja,

"Abang.. You are mine".

Leman menjawab,

"No, you have to share".

Timah diam. Lama. Ditunggunya Leman untuk meneruskan bicara atau pujukan mengatakan apa yang didengar tadi hanya gurauan, tetapi hampa. Leman juga diam. Timah hairan dan mengesyaki seseuatu. Lalu, Timah mendapatkan telefon bimbit Leman dan dibukanya.

Ya Allah..

Allahu Akbar..

Timah baca perbualan message antara Leman dan rakan baiknya di telefon. Leman ada perempuan lain dan merancang untuk menikahinya. Gambar perempuan itu juga ada, sangat cantik orangnya, macam artis. Namanya Peah.

Pang!!!!

Berderai telefon bimbit dihempas oleh Timah. Begitu juga perasaan Timah.. hancur berkeping-keping. Bagai ditikam-tikam, ditusuk-tusuk dengan pedang.Tidak mungkin... tidak mungkin.. bisik hati Timah. Leman terkejut mendengar bunyi terhempas dan barulah dia menyedari isterinya sudah tau perkara itu.

Timah tidak boleh terima. Timah hilang kawalan. Timah terpuruk, tersengguk-sengguk menangis. Timah mengamuk. Leman hanya diam. Tunduk membisu merasa bersalah. Kemudian, Leman mengaku. Leman memang berniat untuk memberitahu Timah dan tidak mahu menipu lagi.. tetapi.. ianya sukar. Leman tidak menafikan perkara itu. Malah, Leman juga sudah merancang untuk bertemu dengan keluarga perempuan tersebut.

Timah tidak percaya apa yang dikatakan oleh suaminya. Adakah perkahwinan kita selama ini tidak bahagia?

"Bahagia sangat yang.."

Jawab Leman.

"Habis tu, kenapa jadi macam ni?"

"Abang pun tak tau, I have no idea.."

Ya Allah.. Leman lupa janji-janji manis dulu. Leman lupa.. Leman lupa.. Leman mungkir janji setia yang pernah termetri. Timah berasa dikhianati. Timah ingin berpisah, tidak sanggup rasanya berdepan dengan semua ini. Timah beri kata dua. Kalau Leman masih teruskan niat dia bernikah lagi satu, Timah minta diceraikan.

Leman diam. Leman tidak mahu menceraikan Timah. Leman sayang Timah. Leman tidak pernah membenci Timah. Leman tidak mahu kehilangan Timah. Leman tamak, Leman nak dua-dua. Tapi Leman lupa, hati Timah hancur, bagaimana mungkin boleh bahagia macam dulu.

Setelah seharian berperang dengan perasaan dan mainan emosi, akhirnya Leman memilih Timah. Leman memilih untuk tidak melepaskan Timah, tetapi rasa kecewa kerana terpaksa melupakan Peah. Peah yang cantik, Peah yang petah berkata-kata. Leman sudah tertarik dengan Peah, cuma satu hal yang kurang iaitu Leman dan Peah tidak pernah bersua muka. Percintaan mereka hanya di media sosial dan telefon. Peah juga tahu Leman sudah beristeri dan sudah ada anak. Tetapi Peah tetap mahu menggoda Leman.

Timah lega dengan keputusan Leman. Tetapi Timah masih berasa curiga. Timah menyuruh Leman menelefon Peah pada waktu itu juga untuk menjelaskan keputusan Leman. Leman tidak mahu. Timah berkeras dan akhirnya Leman menurut. Timah juga mendengar perbualan mereka. Setelah Leman menjelaskan keputusan yang dibuat kepada Peah, Peah terkejut dan menangis. Peah juga ingin bercakap dengan Timah. Berani sunggguh. Peah menyatakan dia ingin bermadu dan hanya minta 10% kebagiaan Timah. Peah hanya minta sedikit, keutamaan akan diberi kepada Timah. Timah tidak percaya apa yang didengar. Berani-beraninya dia meminta begitu. Tidakkah dia juga perempuan? Tidakkah dia mengerti hati dan perasaan perempuan? Timah menjawab, kalau Peah mahu, Peah ambil semua. Timah tidak mahu berkongsi. Peah masih berani lagi berkata.

"Mengapa anda tidak membenarkan poligami sedangkan ia dibenarkan dalam Islam?"

Pedih hati Timah.Timah bukan menafikan aturan hukum Allah, tetapi Timah hanya ingin hidup bahagia dan tenang. Timah sedar dia bukan orang baik, kuat cemburu dan bermulut jahat. Timah bimbang sekiranya bermadu, Timah akan menjadi orang yang busuk hati dan selalu menyakiti hati Leman. Timah akan tempah tiket ke neraka.

"Jika awak mahu, awak ambillah semua 100%". Balas Timah.

"Kenapa awak mudah meninggalkan orang yang awak sayang?", tanya Peah.

Ya Allah.. siapalah perempuan ini untuk mempersoalkan hati dan perasaan  Timah. Layak sangatkah untuk dia berkata demikian? Apa hak dia?

Kemudian, Peah berkata.

"Baiklah, I surrender.."

Perbualan terhenti. Leman menangis. Timah menyaksikan sendiri di hadapan matanya, melihat suaminya frust dengan perempuan lain. Leman memadam nombor telefon dan semua gambar-gambar cantik Peah dari telefonnya. Apa yang perlu Timah rasa? Rasa menang? tidak sama sekali! Timah jadi tidak tentu hala. Malapetaka apakah ini?

Timah mengadu hal ini kepada Kak Esah, teman rapatnya. Kak Esahla tempat Timah mengadu nasib, mencurahkan perasaan yang berbuku.

Akhirnya, setelah keadaan sedikit tenang, Timah memeluk dan memujuk Leman. Timah memujuk suaminya yang frust dengan perempuan lain. Timah tahan perasaan demi suami tercinta. Leman menangis, Timah menangis. Leman meminta maaf dan berjanji tidak akan menghubungi Peah lagi.

Keesokan harinya, Timah mendapat tahu Leman menelefon Peah. Ya Allah.. Timah tidak tahu apa yang perlu dibuat. Timah sedih, pedih dan kecewa. Semalam berjanji, hari ini mungkiri. Timah nekad mahu cerai. Timah rasa Timah boleh hidup sendiri daripada makan hati. Timah tidak balik ke rumah malam itu kerana untuk mencari ketenangan.

Leman tahu plan Timah untuk meminta cerai. Leman sedih kerana bakal kehilangan Timah. Leman buntu. Tetapi, Leman tidak menunjukkan kesungguhan mencari Timah yang tidak pulang ke rumah. Mungkin kerana Leman masak benar perangai Timah yang keras hati dan tidak mahu diganggu. Malah, ketika inilah Peah mengambil kesempatan memujuk hati Leman untuk menikahinya dan Leman telah pun bersetuju dan berjanji mengambil Peah sebagai isteri.

Di sudut lain, Timah bermunajat kepada Allah. Timah mohon diberi petunjuk. Timah membuka helaian al-Quran satu persatu dan membacanya. Hanya air mata yang tumpah. Bacaan Quran yang diselang seli dengan tangisan. Inikah pengakhirannya? Timah juga merancang, yang esok dia akan fotostat surat nikah, ic dan sebagainya untuk di bawa ke pejabat agama untuk proses permohonan cerai. Timah sedih Leman tidak mencarinya, hanya satu panggilan telefon yang sengaja tidak diangkat dan satu pesanan mesej, "Kat mana?". Timah bawa hati yang lara. Timah tidak lalu makan dan tidak boleh tidur.

Setelah hampir subuh, barulah Timah boleh melelapkan mata sekejap. Setelah bangun tidur, Timah mandi dan solat subuh. Tiba-tiba datang semacam suara,

"Kau kena selamatkan rumah tangga kau. Siapa dia yang datang tiba-tiba nak meruntuhkan segalanya. Kau kena kuat, kau kena tahan.."

Timah tersentak mendengar bisikan itu. Ini mungkin petunjuk Allah. Cepat-cepat Timah bersiap dan pulang ke rumah. Di rumah, Leman hanya membisu. Leman tidak tahu ingin berkata apa. Timah tunggu kata maaf dari Leman tetapi hampa. Timah buat macam biasa, mengemas kain baju dan sebagainya. Leman beberapa kali ingin mengatakan sesuatu, tetapi macam ada benda tersekat di kerongkongnya.

Akhirnya, Leman berkata, dia tidak boleh melupakan Peah. Timah cakap, tidak mengapa, Timah akan cuba tawan hati abang semula. Kita cuba ya? Leman hanya diam. Leman cakap, abang tak berani berjanji sebab abang sudah memberi harapan pada Peah. Ya Allah.. Timah bertahan. Tak apalah bang.. beri saya peluang. Beri saya peluang menangi hati abang semula. Leman diam. Ya, kita cuba.

Kemudian, Leman beritahu esok dia ingin ke Kuala Lumpur, Timah nak ikut tetapi Leman tidak bagi. Tahulah Timah yang Leman ingin berjumpa Peah di Kuala Lumpur. Hancur lagi hatinya. Bukankah Leman cakap, dia berusaha melupakan Peah?

Timah tidak izinkan perkara ini terjadi. Timah menyembunyikan telefon Leman. Timah buat begitu sebab ingin menghalang pertemuan mereka. Leman marah. Leman minta telefonnya. Keadaan sangat tegang. Timah memujuk Leman supaya bersabar. Timah ajak Leman tunaikan umrah. Timah mahu Leman kembali kepada dirinya sebelum ini. Leman berjual beli dengan Timah. Leman bersetuju untuk menunaikan umrah dengan Timah kalau Timah izinkan dia menikah lagi. Ya Rabbi..

Timah tahan perasaan dan bersetuju. Dari situ, termetrailah perjanjian antara dua hati Timah dan Leman dan diabadikan dalam sebuah buku nota kecil. Pelbagai syarat yang perlu dipatuhi termasuklan Leman dan Peah tidak boleh berhubung walau apa cara sekalipun sehingga mereka kembali dari umrah. Leman perlu menyantuni Timah sebagai satu-satunya orang yang dicintainya. Leman setuju dan mereka menandatangani perjanjian itu. Leman juga memberitahu Peah tentang perjanjian yang termetrai. Peah semacam tidak puas hati kerana baginya dia faham Leman akan semakin jauh darinya. Tetapi, akhirnya Peah setuju. Timah lega.

Keesokan harinya, Leman buat hal lagi. Dia masih menghubungi Peah. Leman memang tidak pandai menipu. Dia tidak pandai memadam jejak perbuatannya. Timah marah kerana Leman melanggar janji. Nabi juga pernah buat perjanjian Hudaibiyah. Sesiapa yang engkar akan terima balasan Allah. Timah marah Leman engkar perjanjian bertulis itu. Timah beritahu Leman, Leman ialah orang munafik. Muka Leman merah padam. Perkataan munafik sangat berat padanya. Leman tahu hukum hakam. Leman tau dia bersalah.

Sewaktu Timah di tikar sejadah berzikir memohon keampunan Allah, saat itulah Leman buat keputusan. Leman tidak dapat melupakan Peah dan Leman tidak mahu lagi menyeksa perasaan Timah, oleh itu Leman ingin memulangkan Timah ke pangkuan keluarga dengan cara baik. Mendengar keputusan Leman, hati Timah tenang dan redha. Mungkin inilah ketentuan takdir untuknya. Lagipun keputusan ini didengar olehnya ketika dia sedang di tikar sejadah. Timah percaya itu kehendak Allah.

Malam itu, mereka semua pulang ke kampuang halaman Timah. Pelbagai perasaan bercampur baur. Timah nampak tenang, tidak menunjukkan kesedihan. Dalam kereta, Timah buat macam biasa, berborak-borak dengan Leman, serta menyanyi-menyanyi mengikut lagu yang dipasang. Leman pula yang sedih. Baginya malam itu malam terahir untuk mereka setelah sekian lama bersama. Leman banyak bersedih tetapi Timah tetap tenang.

Dalam perjalanan, mereka singgah sebentar untuk ngeteh. Tanpa dirancang, Timah order milo panas kerana sedar dirinya kurang zat makanan sejak kebelangan ini kerana serabut dengan masalah yang dihadapi. Leman pula teringat itulah yang dipesan oleh Timah sewaktu mula-mula Leman ingin mengurat Timah. Leman sedih dan terharu. Leman tidak mahu saat di kedai makan itu terhenti. Ikutkan hati Leman, Leman tidak mahu kemana-mana, hanya ingin duduk berdua-duaan dengan Timah di kedai makan tanpa memikirkan semua masalah.

Timah juga ikut terharu. Dia sedar dia tidak boleh hidup tanpa Leman. Leman satu-satunya lelaki yang bertakhta di hatinya, tiada sesiapa boleh menggantikan tempat Leman. Leman juga memujuk Timah, terimalah suratan takdir, terimalah madu. Janganlah sampai bercerai-berai.

Timah termakan pujuk rayu Leman. Dengan syarat, Timah tidak mahu tahu apa-apa tentang Peah. Dan Peah tidak dibenarkan menghubungi Timah langsung kecuali hal yang benar-benar mustahak. Leman tidak boleh bercerita tentang Peah kepada Timah. Anggaplah Timah tak tau apa-apa. Walaupun keluarga Timah tahu hari perkahwinan Leman dengan Peah, janganlah diberitahu kepada Timah. Leman faham dan menurut kata Timah. Timah berbuat demikian kerana sebenarnya dia memang tidak boleh terima kehadiran orang ke tiga, tidak boleh. Timah mahu delete semua memori tentang Peah. Timah mahu cipta dunia Timah sendiri di mana jika Leman tiada di sisi, Timah akan menganggap Leman pergi bekerja mencari rezeki. Bukan ke rumah bini nombor dua.

Timah dan Leman menjalani kehidupan seperti biasa. Timah melayan Leman dengan penuh kasih sayang dan penuh hormat. Malah, kata Leman hatinya semakin berbunga-bunga bila berada di rumah. Hubungan Timah dan Leman sangat baik dan akrab. Terkadang jika perasaan pedih datang kepada Timah dan membuatnya murung dan tertekan, cepat-cepat Leman datang memeluk dan memujuk. Kerana terpaksa, Timah relakan.

Di sisi lain, rupanya Peah cemburu dengan keakraban Timah dan Leman. Peah tidak lagi mahu 10% kebahagiaan Timah, tetapi 100%. Peah mahu merampas Leman sepenuhnya daripada Timah. Peah menghantar email kepada Timah, kononnya dia mengalah dan menyerahkan Leman 100% kepada Timah. Timah marah, kerana Peah langgar janji. Jika dia ikhlas ingin mengundur diri, silakan pergi saja. Untuk apa dia hantar email sebegitu? Benar seperti sangkaan Timah, Peah main tarik tali dengan Leman. Peah talam dua muka. Dengan Timah, Peah cakap dia mengundur diri, dengan Leman dia cakap dia masih cintakan Leman, tetapi biarlah dia berkorban demi kebahagiaan Timah. Mahu apa perempuan ini? Buat kucar kacir di sini.

Dalam suasana yang tegang di situ, Kak Esah membongkar siapa Peah. Rupanya, Peah menggunakan wajah orang lain iaitu Joyah yang sangat cantik rupa parasnya untuk menggoda Leman. Gambar Joyah itulah yang sering dihantar kepada Leman hingga Leman terbuai-buai perasaan. Peah menipu identitinya.

Setelah Leman dapat tahu perkara ini dan bertanyakan penjelasan kepada Peah, Peah menghilangkan diri. Sangka Timah, permainan ini sudah tamat, rupanya tidak. Leman masih tidak puas hati kerana tidak tahu siapa yang mempermainkan dia. Leman masih memujuk Peah dan bersedia memaafkan jika Peah menunjukkan dirinya sebenar. Kemudian, Peah mengaku dirinya bernama dotdot. Rupanya Peah tipu lagi, dotdot yang diberitahunya adalah perempuan yang sudah berumur. Mana mungkin. Penipuan demi penipuan dilakukan oleh Peah. Leman terus mendesak Peah.

Peah tidak mahu diganggu. Satu email daripada kakak Peah dihantar kepada Leman. Kakak Peah menyuruh Leman jangan mengganggu adiknya lagi. Peah dikatakan lumpuh separuh badan, pakai seluar sendiri pun tak mampu. Leman jatuh kasihan kepada Peah dan masih mengharap jodoh dengan Peah. Kakak Peah pula pandai bermain kata-kata dengan memuji-muji adiknya hingga perasaan Leman terbuai-buai lagi.

Timah dapat tahu perkara ini. Timah rasa ini tidak adil untuknya. Timah mahu tau siapa Peah sebenarnya. Timah bimbang jika Peah berada dekat dengannya dan tentunya ia akan membahayakan keselamatan mereka sekeluarga. Timah menyuruh Joyah cantik melaporkan pada polis tentang perlakuan Peah menggunakan gambarnya untuk tujuan tidak baik. Joyah cantik setuju kerana dia pun sangat marah pada Peah.


Tamat.

Cerita ni memang tergantung begitu saja kerana Peah masih tidak dapat dikesan di mana keberadaannya.